Saturday 8 December 2012

Kampung Penanti

Wajah Persimpangan Pekan Penanti 2010



Samseng Kampung Penanti.

Di mana-mana saja kawasan penempatan di negara kita pasti akan ada berbagai ragam manusia yang mendiaminya. Ada yang baik, ada yang waraq, ada yang neutral dan ada juga yang samseng.


Begitulah juga di kampung Penanti, kampung di mana saya dibesarkan terdapat berbagai ragam jenis manusia yang mendudukinya. Seperti biasa kumpulan yang paling menonjol adalah kumpulan samseng kampung. Saya masih ingat semasa kecil dulu ada sekumpulan manusia jenis ini yang kerja mereka buat berbagai hal di kampung.

Kumpulan samseng kampung saya ketika itu gemar berjudi. Mereka menjadikan sebuah kedai di pekan Penanti sebagi pusat main judi mereka. Kedai Kopi tersebut bernama Kedai Aa Nyok.

Kedai Aa Nyok terkenal di seluruh kampung saya kerana ia menjadi laluan pintas orang kampung yang mahu ke Pekan Penanti. Setiap kali saya disuruh membeli barang dapur seperti garam, asam jawa dan lain-lain, saya akan berjalan kaki dari rumah melalui jalan belakang masuk ke Pekan Penanti melalui pintu belakang kedai Aa Nyok.

Saya biasanya akan melintasi halaman belakang kedai yang ada sebatang pokok buah Sawa (Ciku) yang rendang. Biasanya di bawah pokok itu akan ada beberapa orang kaki judi yang duduk bertinggung dalam bulatan sambil bermain judi. Antara judi yang terkenal yang sering mereka main adalah "judi belangkas".

Judi laga ayam juga biasa di jalankan di kawasan yang sama. Kalau tak ada apa-apa judi, mereka hanya duduk berbual kosong di bawah pokok sawa itu.

Lepas sahaja melalui kawasan itu saya akan menaiki tangga kecil untuk masuk pintu belakang kedai Aa Nyok. Lalu di belakang itu terpaksalah menahan sedikit nafas agar dapat menghindari bau busuk jamban yang ada di belakang kedai.

Pada waktu itu, semua jamban menggunakan sistem tong yang diletakkan dibawah tempat bertinggung. Amat mudah untuk membina sebuah jamban pada waktu itu. Kita hanya perlu membina sebuah pondok kecil yang muat untuk satu orang. Lantai berada dalam linkungan 2 kaki dari tanah dan pada tengah lantai di tebuk sebuah lubang dalam keluasan sebiji pinggan.

Apabila buang air kita perlu pastikan najis jatuh melalui lubang tersebut terus masuk kedalam tong najis yang berada betul-betul dibawah lubang. Semasa buang air besar, elok kita kencing terlebih dahulu di luar kerana jika tidak, tong akan dipenuhi air kencing, jadi ia akan cepat penuh melimpah.

Pembaca boleh bayangkan sendiri betapa busuknya bau jamban ketika membuang air besar pada zaman dahulu. Membayangkan rupa bentuk tong yang ada di bawah yang dipenuhi dengan najis berbagai warna cukup meloyakan tekak saya sekarang ini. Peliknya tak ada pula saya rasa apa-apa pada masa dulu.

Sebaik saja masuk ke dalam saya akan rasa lega sedikit kerana dapat bernafas semula, walaupun bau di dalam bukanlah enak, cuma baik sedikit saja dari bau tandas tadi. Bahagian belakang kedai Aa Nyok terdapat sebuah bilik kecil di sebelah kanan yang menjadi pusat permainan 'ba-chok' (mahjong).

Dalam bilik itu sentiasa dipenuhi oleh kaki ba-chok daru berbagai kaum 1Malaysia, melayu, cina dan juga india. Walaupun tulisan pada kiub mahjong itu adalah tulisan cina, orang melayu kaki ba-chok kat situ semua memahaminya, mengkagumkan!.

Selain daripada bilik kecil pusat main ba-chok itu, ada beberapa meja bulat di bahagian belakang kedai Aa Nyok yang menjadi tempat pelangan tetap kedai. Mereka juga menjadikan bahagian itu sebagai tempat mereka minum minuman keras, terutamanya kaki minum berbangsa Melayu, ada juga rasa malu mereka rupanya.

Begitulah suasana pusat berkumpul serta aktiviti geng-geng samseng kampung di sekitar pekan Penanti suatu ketika dulu. Kadang-kadang akan ada cerita pergaduhan berlaku di tempat judi yang biasanya boleh membawa sampai ke dalam kampung.

Sebagai kanak-kanak saya memang seram sedikit melihat mereka, apa lagi sya selalu dengan cerita kehebatan masing-masing memukul orang di kampung. Kebanyakan mereka kini sudah banyak yang berubah. Ada yang jadi JKK kampung, ada yang jadi pengunjung tetap masjid dan surau serta pondok pengajian agama dan ada juga yang menjadi siak masjid. Tetapi masih ada juga tak boleh berhenti main ba-chok sehingga tua.

Kini masa sudah lama berlalu. Sayapun tak menetap dikampung lagi. Cuma kerap pulang untuk menziarahi ibu di kampung sambil bertemu dengan kawan-kawan kampung. Daripada cerita-cerita ibu saya dapati pelapis baru samseng tetap ada dan kebiasannya merupakan anak-anak pengunjung tetap kedai Aa Nyok dulu.

Samseng-samseng dulu yang kini telah tua diperturunkan kepada anak-anak mereka yang sudah dewasa. Semua perangai mereka dulu-dulu diwarisi oleh anak mereka kini cuma bezanya kini kebanyakan mereka merupakan ahli geng 3 line. Geng 3 line ini mempunyai rangkaian yang amat besar di seluruh negara.

Ada kejadian baru-baru ini saya dengar samseng-samseng pelapis ini menyerang sebuah rumah dengan membawa parang. Serangan diketuai oleh si ibu membawa bersama anak lelaki serta menantu lelakinya.

Entah apa perselisihan faham yang berlaku saya kurang pasti antara mereka yang tinggal berjiran. Saya yakin sudah tentu tak ada yang berat sangat kerana difahamkan ketika itu suami rumah yang diserang berada di luar negara atas urusan kerjanya, jadi perselisihan faham sudah tentu berlaku antara pihak isteri dengan jirannya.

Nasib baik ketika serangan si isteri yang sarat mengandung tidak keluar walupun di sergah banyak kali serta ditendang segala pintu rumah tersebut. Saya tak tahulah apa yang akan jadi jika mereka berjaya masuk. Untuk melepaskan geram, habis mereka pecahkan segala cermin tingkap sekeliling rumah serta mencurahkan minyak enjin penuh ke dalam rumah. Kasihan si isteri bersama anaknya yang masih kecil. Anak kecilnya ketakutan menjerit dan berselawat serta bertakbir, namun tidak dipedulikan oleh samseng pelapis.

Menjadi lebih malang apabila laporan polis dibuat di balai Penanti, mereka menolak untuk menerima laporan. Terpaksalah laporan dibuat di Balai Bukit Mertajam, yang juga menolak dari mengambil aduan tersebut. Rupa-rupanya mereka merupakan adik beradik 3 line, polis balai penanti juga ahli geng 3 line, begitu juga polis balai Bukit Mertajam.

Jika begini jadinya maka siapa yang boleh kita harapkan untuk menegakkan keadilan?, saya yakin ini hanya satu contoh kecil ketidak adilan yang berlaku dalam masyarakat kita.



Bagoih : *Credit to Warta Shubi*

No comments:

Post a Comment